MEMPERHALUSI MASALAH PEMBELAJARAN (INTELLECTUAL DISABILTY)
Oleh: Dr Ravivarma Rao Panirselvam
============
.
Seringkali individu dewasa yang mempunyai masalah pembelajaran (intellectual disability) disamaertikan dengan penyakit mental.
.
Benar, risiko gejala penyakit mental seperti kemurungan dan psikosis adalah lebih tinggi dalam kalangan individu yang mempunyai masalah pembelajaran.
.
Namun, beberapa perkara penting perlu diperhalusi oleh orang awam:
.
1. BANYAK TANDA BERTINDIH ANTARA PENYAKIT MENTAL DAN MASALAH PEMBELAJARAN
.
Terdapat banyak tanda-tanda yang bertindih antara penyakit mental dengan individu yang mempunyai masalah pembelajaran.
Contohnya bercakap seorang diri.
.
Seseorang yang mengalami gejala psikosis kemungkinan berinteraksi dengan halusinasinya.
.
Berbeza dengan seseorang yang mengalami masalah pembelajaran yang mungkin hanya berbicara dengan dirinya. Sebagai cara menenangkan dirinya daripada keresahan.
.
Meskipun tandanya sama tetapi intipatinya berbeza.
.
Hanya doktor dan pengamal kesihatan yang pakar dalam bidang ini boleh melakukan penilaian merumuskan punca gejala ini.
.
2. SERING DITINDAS DAN DIPERGUNA
.
Golongan ini sering tertindas dan dipergunakan.
.
Sebabnya? Salah satunya akibat keupayaan pemahaman mereka yang terhad terutamanya dalam aspek norma masyarakat dan undang-undang.
.
Mereka mudah menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab seperti disalahkan untuk kes kecurian.
.
3. TINGKAHLAKU MENCABAR
.
Tingkahlaku yang mencabar (challenging behavior) seperti bertindak agresif dan perlakuan seksual yang kurang menyenangkan adakalanya berlaku dalam golongan ini.
.
Seperti yang diterangkan di dalam (1) dan (2), individu-individu ini mempunyai keupayaan psikososial yang tidak memadani kematangan tubuh badan.
.
Ini boleh menyebabkan seseorang itu mungkin mengalami kesukaran untuk meluahkan masalah dan kemahuan mereka yang menjadi pencetus kepada tingkahlaku sebegini.
.
SISTEM SOKONGAN MASIH KURANG
.
Sistem sokongan untuk individu-individu dewasa yang mengalami masalah pembelajaran masih di peringkat permulaan di negara-negara yang membangun.
.
Oleh sebab itu, masyarakat secara tidak langsung cuba melayan mereka sebagai kanak-kanak.
.
Walaupun berniat baik untuk menolong, perbuatan mengambil alih hak-hak seseorang hanya akan mengongkong kebolehan seseorang dan menjejaskan masa depan beliau.
.
LANGKAH YANG PERLU DILAKUKAN BERSAMA
======
.
Oleh demikian, kita sebagai masyarakat boleh melakukan langkah-langkah berikut sebagai perintis perubahan paradigma:
.
1. Menghormati mereka seperti seorang insan yang mempunyai perasaan dan pendapat.
.
2. Menghargai kebolehan mereka untuk membuat keputusan dan pilihan.
.
Lebih lebih lagi apabila maklumat disampaikan kepada mereka dengan cara yang mudah.
.
Contohnya melalui gambar dan bahasa yang tidak mengelirukan.
.
3. Meluahkan bantahan kepada sebarang penindasan terhadap mereka terutamanya di media dan pertuturan harian.
.
4. Menyokong usaha-usaha untuk mempertahankan hak-hak mereka seperti pendidikan khas dan perubatan kepakaran khas.
.
Salah satu cara adalah menyertai kumpulan sokongan terbabit(support group).
.
5. Membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan dan menyediakan suasana kerja yang positif.
.
6. Menyokong mereka untuk berdikari sejauh yang boleh.
.
Kesimpulannya, individu-individu yang mengalami masalah pembelajaran tidak harus dipinggirkan.
.
Kita harus ingat mereka boleh merasai emosi seperti kasih sayang dan mampu menyumbang kepada masyarakat sekiranya diberi peluang.
P/s: Sebarkan untuk manfaat umum. Masih ramai belum tahu tentang fakta ni.