Apa Itu Pendidikan Khas?
“Pendidikan Khas” ertinya pendidikan bagi murid berkeperluan pendidikan khas di tiga opsyen (setting) persekolahan, iaitu sekolah pendidikan khas, atau di sekolah arus perdana yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi atau Program Pendidikan Inklusif, pada peringkat pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah atau pendidikan lepas menengah.
Siapakah Murid Berkeperluan Khas?
“Murid Berkeperluan Khas”, ertinya murid yang diperakukan oleh pengamal perubatan, atau ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologimengikut mana-mana yang berkenaan, sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau swasta sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran atau mana-mana kombinasi ketidakupayaan.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Program Pendidikan Khas?
“Sekolah Pendidikan Khas” ertinya sekolah yang menyediakan pendidikan khas bagi murid berkeperluan khas (MBK) pada semua peringkat persekolahan. Sekolah Pendidikan Khas ini dikendalikan terus oleh Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas).
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Program Pendidikan Khas Integrasi?
“Program Pendidikan Khas Integrasi” ertinya suatu program pendidikan bagi murid berkeperluan khas yang hanya dihadiri oleh murid berkeperluan pendidikan khas di kelas khas di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Program Pendidikan Inklusif?
“Program Pendidikan Inklusif” ertinya suatu program pendidikan bagi murid berkeperluan pendidikan khas yang dihadiri oleh murid berkeperluan pendidikan khas bersama-sama dengan murid lain dalam kelas yang sama di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan.